SEMINAR & MESYUARAT ANeT KE-V 2005, UNIVERSITI MALAYA, KUALA LUMPUR
ANeT telah ditubuhkan bagi mewujudkan satu jaringan antarabangsa untuk membuat kajian yang berkaitan dengan semut (Hymenoptera:Formicidae) di Asian. Seminar/mesyuarat dan bengkel (SMB) AneT dilakukan dua tahun sekali dan ia beribupejabat di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah. Sebelum ini, SMB kali ke-IV 2003 telah diadakan di Thailand, SMB ke-III 2001 di Vietnam, SMB ke-II 2000 di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia dan SMB yang pertama 1999 telah diadakan di Thailand. AneT dianggotai oleh 72 penyelidik dari seluruh dunia termasuklah penyelidik dari Malaysia, Jepun, Australia, Indonesia, Sri Lanka, Taiwan, Vietnam, United Kingdom, Amerika Syarikat, Thailand, German, China, Belgium, Denmark, India, Mongolia, Switzerland, Bangladesh dan Korea Selatan.
SMB AneT ke-V pada kali ini telah diadakan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 28hb November hingga 4hb Disember 2005 bertemakan “Management of Ants” . Sebanyak 40 tajuk dibawah tiga bidang kajian utama telah dibentangkan. Tiga bidang kajian tersebut ialah Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan; Ekologi, Kelakuan dan Fisiologi dan juga Taksonomi dan Biogeografi. Prof. Datin Dr. Maryati yang juga presiden AneT turut membentangkan kertas kerja beliau yang bertajuk ‘Popularization of Ants’. Bersempena dengan Seminar dan Mesyuarat ANet pada kali ini, satu pameran semut telah diadakan di Galeri Tengah Muzium Negara dari 30hb November sehingga 15hb Disember 2005. Pameran semut ini dianjurkan bersama oleh Universiti Malaysia Sabah dan Jabatan Muzium dan Antikuiti dengan bantuan daripada Universiti Malaya dan JICA.
Setelah tiga hari berseminar, semua peserta telah dibawa ke Hutan Simpan Ulu Gombak untuk menjalankan kerja lapangan. Perjalanan selama satu jam setengah, walaupun agak panjang namun ia sudah tentu menyeronokkan terutama kepada para penyelidik yang yang baru berkunjung ke Malaysia. Mesyuarat khas ANeT pada kali ini juga telah berjaya membentuk satu pelan tindakan bertajuk Semut dalam Pemuliharaan Kepelbagaian Biologi di Asia (Ants in Biodiversity conservation inAsia: An Action Plan by AneT) yang bertujuan untuk mengumpul dan menghimpunkan maklumat serta kepakaran mengenai semut dan seterusnya mengarahkannya untuk tujuan pemuliharaan kepelbagaian biologi di Asia.
Mesyuarat pada kali ini juga telah sebulat suara untuk melantik India sebagai tuan rumah pada seminar AneT ke-6 2007 yang akan datang. Terima kasih Kuala Lumpur dan semoga bertemu kembali di India.
OLEH; PETHERINE J & MARYATI M

0 Comments:
Post a Comment
<< Home